Thursday, January 28, 2010

CONTOH KARANGAN - LAPORAN PERSATUAN

                           LAPORAN PERSATUAN BAHASA MELAYU
                         SEKOLAH KEBANGSAAN BUNUT PAYONG
                                               TAHUN 2009

Penaung          : Puan Sharifah Rahayah Bt Syed Ahmad.
                        Tuan Haji Dasuki Bin Ahmad.

Pengerusi        : Ahmad Zakir Bin Zawawi.

Setiausaha      : Ain Zulaikha Bt Osman.

Bendahari        : Wan Nur Iffah Mirza Binti Roslan.

AJK                : Muhammad Akif Bin Ahmad Fakhruddin.
                        Ahmad Alif Luqman Bin Ahmad Mazli.
                        Nik Nur Emeylia Thasha Binti Nik Mohd Suffian.


     Persatuan Bahasa Melayu di sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun
1996 dengan ahlinya seramai 30 orang sahaja. Kini, setelah 11 tahun
penubuhannya, bilangan ahlinya telah meningkat kepada 100 orang.

     Tujuan penubuhannya adalah untuk melatih murid-murid berdikari dan
bekerjasama sesama mereka. Selain daripada itu, diharapkan agar mereka
akan lebih cintakan bahasa ibunda mereka sendiri.

     Sepanjang tahun 2006, persatuan ini telah mengadakan pelbagai
aktiviti yang melibatkan pelajar – pelajar sekolah ini. Di antaranya ialah
seperti Pertandingan Bercerita, Membaca Syair dan Mendeklamasi Sajak
serta Pesta Pantun. Selain daripada itu, turut diadakan Pertandingan Buku
Skrap Simpulan Bahasa.

     Persatuan ini juga telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke ibu
kota Kuala Lumpur dan pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya. Ia telah
disertai oleh kesemua ahli persatuan dan guru-guru penasihat.

     Harapan kami semoga persatuan ini akan berkembang lebih maju dan
bertambah aktif pada masa akan datang.

Disediakan oleh :                                                      12 JANUARI, 2010.
Ain
(AIN ZULAIKHA BT OSMAN)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Bunut Payong.

Tuesday, January 26, 2010

CONTOH KARANGAN - FAKTA

Akhbar

Setiap orang daripada kita tentu pernah membaca akhbar. Akhbar
dikeluarkan dalam pelbagai bahasa dan tulisan. Antaranya seperti Berita
Harian dan Utusan Malaysia dalam bahasa Melayu. Utusan Melayu pula
diterbitkan dalam tulisan Jawi sementara Sin Jiew Jit Poh dan
Nanyang Siang Pau dalam bahasa Cina.

Akhbar merupakan salah satu media massa yang terpenting pada
masa kini. Ia memainkan peranan yang penting kepada pembaca sebagai
sumber maklumat yang popular dan murah serta dijual di merata tempat.

Kepentingan akhbar terserlah sebagai penyebar berita dari dalam
dan luar negeri. Melalui akhbar kita dapat mengetahui pelbagai peristiwa
yang berlaku di dalam negeri mahu pun di luar negeri. Ini secara langsung dapat meluaskan lagi pengetahuan kita. Di samping itu dengan membaca akhbar dapat mempertingkatkan lagi kemahiran berbahasa.

Selain daripada itu juga akhbar boleh bertindak sebagai pengisi
masa lapang. Ini boleh mengelakkan daripada melakukan pelbagai perkara
yang tidak berfaedah. Isi kandungannya juga boleh menghiburkan hati.

Ruangan-ruangan yang dimuatkan dalam akhbar juga dapat
membantu memenuhi minat pembacaan masing-masing. Contohnya
ruangan Sukan, Wanita, iklan Pekerjaan atau Perniagaan, Hiburan, Kartun
dan sebagainya.

Sebagai kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa akhbar
merupakan salah satu antara media cetak yang terpenting pada masa kini.

Friday, January 22, 2010

CONTOH KARANGAN - PERISTIWA



Sambutan Hari Raya Aidil Fitri

Di seluruh dunia, Hari Raya Aidil Fitri akan disambut pada
1 Syawal setiap tahun oleh semua umat Islam. Hari raya ini dirayakan
setelah umat Islam menunaikan ibadah puasa selama sebulan pada
bulan Ramadhan.

Pada pagi itu saya telah bangun awal-awal pagi dan segera
mandi sunat pagi hari raya. Kemudian kami sekeluarga berpakaian
baru dan saling bermaaf-maafan sesama ahli keluarga sebelum
pergi ke masjid.

Tepat jam 8.30 pagi, kami sudah pun berada di masjid untuk
menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri. Semua yang hadir
berpakaian serba baru dan berwarna-warni. Laungan takbir memecah
keheningan pagi. Selepas sembahyang, kami mendengar khutbah yang
dibacakan oleh khatib.

Kemudian kami menziarahi kubur ahli keluarga dan sanak-saudara
kami yang telah meninggal dunia. Kami membacakan ayat-ayat suci
Al-Quran serta berdoa untuk mereka yang telah pergi.
Selepas itu, saya mengunjungi rumah datuk saya, abang dan kakak
saya serta sanak-saudara. Kami bermaaf-maafan atas kesalahan yang
telah dilakukan. Saya juga mendapat duit raya daripada mereka. Pada
hari raya kedua, bapa saya mengadakan ‘Rumah Terbuka’. Ramai kawan-
kawan, saudara-mara dan jiran tetangga yang datang ke rumah kami. Saya
menghidangkan pelbagai juadah seperti ketupat, sate, lemang dan biskut
raya untuk para tetamu. Bapa pula membahagi-bahagikan duit raya kepada
kanak-kanak yang datang ke rumah kami. Walaupun kepenatan, saya
berasa sungguh seronok.

Sambutan hari raya pada tahun ini sungguh meriah dan saya
berharap dapat menyambutnya lagi pada tahun hadapan.

Uji Tahap Bahasa Inggeris Anda :

Mari Bermain dan Uji Matematik Anda

Followers