Friday, January 22, 2010

CONTOH KARANGAN - PERISTIWA



Sambutan Hari Raya Aidil Fitri

Di seluruh dunia, Hari Raya Aidil Fitri akan disambut pada
1 Syawal setiap tahun oleh semua umat Islam. Hari raya ini dirayakan
setelah umat Islam menunaikan ibadah puasa selama sebulan pada
bulan Ramadhan.

Pada pagi itu saya telah bangun awal-awal pagi dan segera
mandi sunat pagi hari raya. Kemudian kami sekeluarga berpakaian
baru dan saling bermaaf-maafan sesama ahli keluarga sebelum
pergi ke masjid.

Tepat jam 8.30 pagi, kami sudah pun berada di masjid untuk
menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri. Semua yang hadir
berpakaian serba baru dan berwarna-warni. Laungan takbir memecah
keheningan pagi. Selepas sembahyang, kami mendengar khutbah yang
dibacakan oleh khatib.

Kemudian kami menziarahi kubur ahli keluarga dan sanak-saudara
kami yang telah meninggal dunia. Kami membacakan ayat-ayat suci
Al-Quran serta berdoa untuk mereka yang telah pergi.
Selepas itu, saya mengunjungi rumah datuk saya, abang dan kakak
saya serta sanak-saudara. Kami bermaaf-maafan atas kesalahan yang
telah dilakukan. Saya juga mendapat duit raya daripada mereka. Pada
hari raya kedua, bapa saya mengadakan ‘Rumah Terbuka’. Ramai kawan-
kawan, saudara-mara dan jiran tetangga yang datang ke rumah kami. Saya
menghidangkan pelbagai juadah seperti ketupat, sate, lemang dan biskut
raya untuk para tetamu. Bapa pula membahagi-bahagikan duit raya kepada
kanak-kanak yang datang ke rumah kami. Walaupun kepenatan, saya
berasa sungguh seronok.

Sambutan hari raya pada tahun ini sungguh meriah dan saya
berharap dapat menyambutnya lagi pada tahun hadapan.

No comments:

Uji Tahap Bahasa Inggeris Anda :

Mari Bermain dan Uji Matematik Anda

Followers