Thursday, February 18, 2010

CONTOH KARANGAN - PERBAHASAN (PEMBANGKANG)

    Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pihak pencadang yang saya kagumi, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, para guru kanan, guru-guru dan para hadirin
sekalian.
  
Saya, Nurul Amalin Bt Shamsuddin sebagai pembangkang ketiga akan membahaskan tajuk perbahasan pada hari ini iaitu, ‘Tinggal dikampung lebih baik daripada tinggal di bandar.’

Hadirin sekalian,

    Saya membangkang sepenuhnya tajuk perbahasan pada hari ini kerana tinggal di bandar sememangnya adalah lebih baik daripada tinggal di kampung.

    Di bandar terdapat banyak peluang pekerjaan. Ini kerana di kawasan bandar terdapat banyak pejabat yang didirikan, pusat membeli-belah yang tumbuh ‘Bagai cendawan selepas hujan’ dan
projek-projek pembinaan yang rancak dijalankan. Peluang pekerjaan daripada buruh kasar sehingga yang berjawatan tinggi pasti ada untuk kita. Sedangkan di kampung, cuma ada peluang untuk bertani atau berniaga
secara kecil-kecilan sahaja.

    Kemudahan pengangkutan yang serba canggih dan pantas memang ada di bandar. Untuk ke mana-mana sahaja, kita boleh memilih untuk menggunakan LRT, komuter atau ‘Express Link’. Ia lebih pantas,
selesa dan menjimatkan masa. Di kampung cuma ada perkhidmatan bas henti-henti yang berjadual. Kita terpaksa menunggu lama untuk mendapatkannya.

    Jika ingin mendapatkan kemudahan perubatan yang lengkap dan canggih, di bandarlah tempatnya. Terdapat banyak klinik swasta, hospital-hospital kerajaan atau swasta dan perkhidmatan doktor pakar
yang profesional. Sedangkan di kampung, mungkin ada sebuah klinik desa sahaja dan doktornya akan datang bertugas sekali-sekala.

    Kemudahan untuk mendapatkan pelajaran juga banyak terdapat di bandar. Banyak kolej swasta, kampus-kampus universiti yang didirikan di bandar. Perpustakaan awam yang serba lengkap juga didirikan di bandar. Di kampung cuma ada sebuah sekolah rendah sahaja.
  
    Berdasarkan hujah-hujah yang telah saya nyatakan tadi, maka jelaslah kepada kita bahawa tinggal di bandar adalah lebih baik daripada tinggal di kampung.

CONTOH KARANGAN - PERBAHASAN (PENCADANG)

Tajuk Perbahasan : ‘Tinggal di kampung lebih baik daripada tinggal di bandar.’   

    Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pihak pembangkang yang saya kagumi, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, para Penolong Kanan, guru-guru dan para hadirin sekalian.
   
    Saya Nur Alza Exora Binti Hasmadiey sebagai pencadang kedua akan membahaskan tajuk perbahasan pada hari ini iaitu, ‘Tinggal di kampung lebih baik daripada tinggal di bandar.’

Hadirin sekalian,

    Saya menyokong sepenuhnya tajuk perbahasan pada hari ini kerana tinggal di kampung sememangnya adalah lebih baik daripada tinggal di bandar.

    Hujah saya yang pertama, jika tinggal di kampung kita dapat menghirup udara yang lebih segar dan bersih, melihat pemandangan alam yang menghijau. Kita juga dapat menikmati kejernihan air sungai yang belum tercemar dan kicauan unggas di rimba. Sedangkan di bandar, kualiti udaranya sudah terjejas dengan teruk, sungai yang dikotori dengan pelbagai sampah-sarap sehinggalah mayat manusia turut dibuang ke dalamnya.

    Kesesakan lalu lintas tidak berlaku di kawasan kampung. Kita tidak perlu mengambil masa yang panjang untuk tiba ke destinasi yang dituju. Sedangkan di bandar kesesakan berlaku pada setiap masa. Walaupun untuk ke suatu tempat yang dekat, masa yang lama terpaksa diambil. Pembaziran masa, tenaga dan wang akan berlaku. Pemandu juga mengalami tekanan perasaan.

    Di kampung, kadar kejadian jenayah amat rendah. Kita berasa lebih selamat dan yakin untuk pergi ke mana-mana sahaja. Kejadian jenayah seperti samun, ragut, culik, rompakan dan pembunuhan berlaku saban hari di bandar. Ibu bapa berasa bimbang untuk melepaskan anak mereka bebas bermain atau pergi ke sekolah bersendirian.
       
    Kos sara hidup di kampung jauh lebih rendah berbanding di bandar. Harga barang keperluan lebih murah dan sesetengahnya boleh didapatkan secara percuma daripada jiran-jiran. Jika di bandar, semua keperluan terpaksa dibeli dan harganya jauh lebih mahal.

    Semangat kejiranan amat tebal di kalangan para penduduk kampung. Mereka saling mengenali, bantu-membantu dan mengambil berat. Ini dapat dilihat jika ada upacara keramaian seperti kenduri atau kematian.
Penduduk bandar pula bersikap ‘keakuan’ dan saling tidak peduli. Jiran di sebelah rumah pun tidak dikenali.

    Berdasarkan hujah-hujah yang telah saya kemukakan tadi, jelaslah kepada kita bahawa tinggal di kampung adalah lebih baik daripada tinggal di bandar.
    Sekian, terima kasih.

Sunday, February 14, 2010

CONTOH KARANGAN - TEMU RAMAH

Anda merupakan sidang redaksi majalah sekolah.Anda telah menemu
ramah seorang pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR pada tahun
lepas.Tuliskan temu ramah anda selengkapnya.


Atiah     : Selamat pagi saudari.Saya, Atiah sidang redaksi majalah
              sekolah ingin menemu ramah saudari tentang kejayaan
              cemerlang saudari dalam peperiksaan UPSR. Sebelum itu,
              saya ucapkan syabas.

Atirah    : Terima kasih dan selamat pagi. Sila teruskan temu ramah
              saudari. Saya akan cuba menjawab semua pertanyaan saudari.

Atiah     : Apakah perasaan saudari apabila muncul sebagai murid terbaik
              dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini?

Atirah    : Saya berasa amat gembira kerana segala pengorbanan saya
              selama ini membuahkan hasil.

Atiah     : Apakah rahsia di sebalik kejayaan cemerlang saudari ini?

Atirah    : Saya tidak mempunyai sebarang rahsia.Setiap hari, saya belajar
              mengikut jadual waktu yang telah saya tetapkan sendiri. Jika ada
              masalah, saya akan bertanya kepada guru. Selain daripada itu,
              ibu dan bapa serta keluarga saya sentiasa memberi dorongan,
              semangat, perangsang dan tunjuk ajar kepada saya.

Atiah     : Bagaimanakah dengan penglibatan saudari dalam aktiviti
              kokurikulum?

Atirah    : Saya ialah Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu dan Setiausaha
              Kelab Membaca. Dalam permainan, saya mewakili sekolah
              dalam pasukan badminton dan bola Jaring.

Atiah     : Apakah cita-cita saudari pada masa hadapan?

Atirah    : Saya akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan agar
              dapat menjejakkan kaki ke menara gading. Harapan saya agar
              dapat menjadi seorang doktor pada suatu hari nanti.

Atiah     : Apakah pesanan saudari kepada rakan-rakan yang akan
              mengambil peperiksaan UPSR pada tahun ini?

Atirah    : Nasihat saya kepada mereka agar belajar bersungguh-sungguh.
              Jangan cepat berputus asa Allah akan menyebelahi mereka yang
              sentiasa berusaha gigih. Selain itu, mereka harus yakin pada
              kebolehan diri sendiri.

Atiah     : Baiklah saudari, harapan saya semoga saudari terus berjaya
              dan terima kasih kerana sudi ditemu ramah.

Atirah    : Sama-sama.

CATATAN

Semoga blog ini akan menjadi sumber maklumat untuk para pelajar yang akan menghadapi UPSR amnya dan khasnya sebagai panduan bagi subjek Bahasa Melayu.

Sekian...TK
Admin

CONTOH KARANGAN - SURAT RASMI

Sebagai Setiausaha :

Kelab Muzik,
Sekolah Kebangsaan Bunut Payong,
15150 Kota Bharu,
Kelantan.

___________________________________________________

Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Bunut Payong,
15150 Kota Bharu,
Kelantan.
                                                              11 FEBRUARI,2010.

Tuan,

Memohon Menggunakan Dewan Wawasan

Saya mewakili Kelab Muzik sekolah ini, ingin memohon menggunakan
Dewan Wawasan untuk mengadakan aktiviti kelab.

2. Kami ingin menggunakan dewan tersebut seperti berikut :

               Tarikh : 4 Februari, 2007.
                Masa : 3.00 petang hingga 6.30 petang.

3. Tujuan kami menggunakan dewan tersebut adalah untuk mengadakan
Pertandingan Lagu Patriotik untuk ahli – ahli Kelab Muzik. Pemenang
pertandingan ini akan mewakili sekolah ke pertandingan di peringkat daerah.

4. Kami berjanji akan menjaga segala peralatan dewan dan akan
bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku apa – apa kerosakan terhadapnya.

5. Kami berharap pihak tuan akan mempertimbangkan permohonan 
ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas segala kerjasama yang 
telah dihulurkan oleh pihak tuan.

Sekian, terima kasih.

Yang menurut perintah :
Arman
(MOHD ARMAN BIN ABDULLAH)
Setiausaha,
Kelab Muzik,
Sekolah Kebangsaan Bunut Payong.

CONTOH KARANGAN - CATATAN HARIAN

Isnin, 5 Januari, 2010.

8.30 pagi        : Linggam, Ah Siew dan Ali berkumpul di rumah saya.
                       Kami hendak pergi  ke Perpustakaan Kuala Lumpur.
                       Kami menaiki monorel ke Stesen Sentral Kuala
                       Lumpur.

9.00 pagi        : Kami sampai di Stesen Sentral Kuala Lumpur.
                       Selepas bersarapan, kami pun menaiki teksi menuju
                       ke Perpustakaan Kuala Lumpur. Keadaan lalu-lintas di
                       bandaraya ini masih lagi sesak dengan pelbagai
                       kenderaan.

10.00 pagi        : Teksi yang kami naiki tadi tiba ke destinasinya. Sebaik
                         sahaja turun dari teksi tersebut, kami dihampiri oleh
                         dua orang pelancong asing. Mereka bertanyakan arah ke
                         Muzium Kesenian Islam. Kami pun menerangkan arah
                         jalan menuju ke muzium tersebut.

10.30 pagi        : Setelah membuat pendaftaran, kami terus masuk ke
                         dalam perpustakaan. Oleh kerana masih awal,
                         pengunjungnya masih belum lagi ramai. Kami terus
                         mencari bahan – bahan rujukan untuk menyiapkan
                         tugasan yang diberikan oleh guru kami.    

11.30 pagi        : Setelah tugasan kami selesai, kami pun balik ke rumah
                         masing-masing dengan menaiki teksi.

Wednesday, February 10, 2010

CONTOH KARANGAN - UCAPAN

Guru anda akan melanjutkan pelajaran ke sebuah pusat pengajian tinggi.Anda sebagai ketua kelas diminta menyampaikan ucapan dalam suatu majlis perpisahan untuknya.


Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar,
Yang Diraikan Cikgu Lokman,para penolong kanan, guru-guru dan rakan-rakan sekalian.

Hadirin sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk berucap pada hari ini.

Sebagaimana yang kita maklum, majlis ini diadakan khusus untuk Cikgu Lokman. Tidak lama lagi beliau akan meninggalkan kita untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti Putra Malaysia. Saya mewakili murid-murid kelas ini ingin mengucapkan tahniah kepada Cikgu Lokman.

Kami berasa amat sedih atas pemergian beliau.Beliau telah mengajar di sekolah ini selama sepuluh tahun.Banyak jasa dan sumbangan yang beliau berikan sepanjang mengajar di sini.

Cikgu Lokman merupakan guru yang tegas. Beliau amat mengambil berat akan murid-muridnya. Selama beliau mengajar di sekolah ini, beliau banyak membantu murid-murid. Terima kasih kami ucapkan atas jasa-jasa
beliau.

Kami berharap agar Cikgu Lokman tidak akan melupakan kami setelah melanjutkan pelajarannya.Kami berjanji akan sentiasa mengingati nasihat dan tunjuk ajar yang telah cikgu berikan kepada kami.

Akhir sekali, saya bagi pihak murid-murid kelas ini ingin mengucapkan ‘Selamat Berpisah’. Maafkan segala salah dan silap kami selama ini. Semoga Cikgu Lokman beroleh kejayaan. Kejayaan Cikgu Lokman akan menjadi pendorong kepada kami.

Sekian, terima kasih.

Uji Tahap Bahasa Inggeris Anda :

Mari Bermain dan Uji Matematik Anda

Followers